feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Bukan Senang Nak Menulis

Labels:


Rupanya susah hendak menulis karya ciptaan sendiri! Itulah yang berada di fikiran saya sekarang ini. Cita-cita besar saya nak menjadi penulis blog yang hebat macam Ust Hasrizal dengan blognya http://www.saifulislam.com/ rasanya masih jauh lagi perjalanan yang bakal ditempuh. Bukan saja jauh tapi berliku-liku. 

Untuk menjadi blogger yang bukan saja hebat dan terkenal tapi bermanfaat, saya rasa paling kurang seminggu 5 artikel yang kena tulis. Diulangi! Kena tulis sendiri bukan copy and paste. Barulah blog kita akan menjadi segar dan meriah dengan tetamu yang ingin mengutip ilmu daripada kita. Rasa cemburu memang tak dapat dielakkan bila melihat blog orang lain yang penuh dengan bahan bacaan tulisan sendiri seperti Ust Hasrizal. Setiap artikel diolah sehingga terasa dekat dengan penulis dan apa yang nak disampaikan. Setiap entri penuh dengan komen daripada pembaca yang bertamu. Tidak seperti kebanyakan blog yang penuh dengan posting copy and paste(termasuk blog sendiri). Kadang-kadang sebulan satu posting je. Dalam hati berkata “ Bilalah aku nak jadi macam Ust Hasrizal ni…”

Sebenarnya nak jadi penulis kena mula menulis dan terus menulis hasil karya sendiri. Bila mula menulis kita akan mula berfikir. Bila mula berfikir kita akan mula membaca. Bila membaca bertambah ilmu dan pengetahuan. Itulah yang saya dapat sejak mula menulis sendiri beberapa entri terakhir saya. Antaranya Mufti Perlis..politik dan pantun, buah hati baru, Jangan terikut millah golongan Nashara dan terakhir Aidil Adha, Bukit Antarabangsa dan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. Tetapi rupanya bukan senang nak menulis! Sebab itu ramai yang copy n paste. Mudah dan senang.

Kalau sebelum ini saya banyak mengambil artikel dari laman blog teman-teman seperjuangan untuk dipaparkan di blog ini. Tapi kini saya mula menulis sendiri. Ikhlasnya nak dikongsi di sini…satu artikel kadang-kadang 3 hari baru siap! Artikel Aidil Adha tu dari sebelum raya sampai 14 Dis baru siap. Memang bukan senang. 

Dulu semasa di Mesir abang saya Azman Ahmad http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/ pernah menggalakkan saya menulis. Beliau kata boleh buat duit. Tapi masa tu memang sungguh tak ada masa. Aktiviti persatuan membataskan masa saya. Tapi sekarang hasil karya beliau acap kali keluar dalam majalah antaranya Majalah I, Dewan Masyarakat dan banyak lagi dengan nama pena Ibnu Ahmad Al-Kurauwi. Beliau pun pernah memenangi pertandingan cerpen yang saguhati kemenangannya pun boleh tahan lumayan. Belum novel lagi..Itu dalam keadaan beliau dah ada tiga anak. Ust Hasrizal lagi sibuk dengan aktiviti beliau yang ingin “memberi” itu. Rasanya saya lebih banyak masa daripada mereka.

Entah apa yang membuatkan saya berkobar-kobar untuk menulis artikel sendiri sekarang. Tapi percayalah..sesungguhnya anda akan rasa berpuas hati bila karya anda siap dengan hasil tangan anda sendiri dan ditatapi oleh orang lain.

Jom menulis!






Aidil Adha, Bukit Antarabangsa dan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S.

Labels:


Rasanya tidak terlewat untuk saya ucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung yang budiman sekalian. Maaf seandainya ada noda dan dosa yang saya lakukan selama ini yang mengguris hati dan perasaan. Saya hanya insan biasa yang penuh kekurangan dan kelemahan.

Sambutan yang sederhana

Sambutan Hari Raya Adha tahun ini serba sederhana sahaja. Ahli keluarga tak ramai yang pulang ke kampung untuk meraikan bersama. Masjid pun tak penuh seperti biasa. Solat Hari Raya terpaksa dilewatkan sedikit kerana bimbang ada makmum yang terlewat disebabkan hujan renyai-renyai pagi tu. Tidak seperti raya Aidlifitri yang lalu. Meriah suasana. Masjid sampai tak muat untuk menampung jumlah jemaah yang terlalu ramai. Tetamu yang datang menziarahi pun sampai tak menang tangan. Namun raya kali ini seperti ada yang kurang. Nasib baik ada tiga orang anak saudara yang memeriahkan suasana. Akhirnya, juadah untuk tetamu menjadi juadah kami sekaluarga sahaja. Manakan tidak! Cuti hanya sehari. Ahli keluarga yang bekerja jauh rasa seperti tak berbaloi kalau balik hanya sehari. Cuaca pun tidak menentu. Bila hujan nak pergi beraya pun berat je. Tetapi kalau nak difikirkan sambutan kali ini tidaklah sesuram hari raya tahun lepas. Langsung tak boleh balik beraya. Jalan raya menuju ke kampung semua terputus disebabkan banjir besar yang melanda Pahang ketika itu. Kesian kak long dan kak ngah dengan anak-anak mereka yang beraya tanpa elektrik dan kuih raya. Kebetulan mak dan ayah menunaikan haji di Mekah. Tinggallah mereka menjaga rumah. Hari raya kali ini juga tidaklah sesuram sambutan hari raya di Bukit Antarabangsa yang dilanda musibah tanah runtuh beberapa hari sebelum Aidil Adha.

Ujian Orang Kaya

Memang benar-benar menguji kesabaran dan memerlukan pengorbanan yang besar buat mereka. Ada yang kehilangan keluarga. Ada yang kehilangan rumah yang beratus ribu harganya dan mungkin lebih lagi. Tak kurang juga yang kehilangan kenderaan mewah, perabot mahal dan perhiasan bernilai tinggi. Semua yang mahal-mahal belaka sebab Bukit Antarabangsa tempat tinggal orang-orang kaya.

Ini bukanlah kali pertama tanah runtuh berlaku di situ. Tragedi robohnya kondominium mewah Highlands Tower pada bulan yang sama kira-kira 15 tahun lalu juga berlaku sekitar 1.5 km dari situ yang telah mengorbankan 48 orang termasuk anak dan isteri Tan Sri Musa Hitam. Juga beberapa rentetan peristiwa tanah runtuh berlaku di sekitar kawasan tanah tinggi berhampiran dengan Bukit Antarabangsa. Namun kawasan yang berstatus elit itu tetap menjadi pilihan. Bukit yang tinggi menjadi pasak bumi itu tetap ditarah. Pokok dan hutan yang menjadi pengawal banjir dan penahan hakisan tanah tetap ditebang hanya bagi memenuhi tuntutan hawa nafsu segelintir kelompok elit di kawasan itu. Sedangkan Islam mengajar manusia samada Islam ataupun non-muslim untuk memulihara gunung-ganang, sungai, pokok-pokok dan alam sekitar semuanya. Sehinggakan dalam peperangan sekalipun Rasulullah SAW mengingatkan supaya jangan memusnahkan tanaman dan kebun-kebun!

Inilah harga yang perlu dibayar oleh mereka apabila menentang hukum alam yang telah ditetapkan oleh sunnatullah. Mereka tidak belajar malah tidak mahu belajar dari kesilapan yang lalu. Kepentingan peribadi mendahului kepentingan umum. Namun, apabila berlaku mulalah menyalahkan pelbagai pihak. Pihak pemaju yang membina perumahan dipersalahkan. Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak memantau juga dipersalahkan. Malah, pihak kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang baru memerintah Mac lalu juga dipersalahkan. Sedangkan projek tersebut telah dibina berpuluh tahun yang lalu. Kenapa pihak yang meluluskan projek tersebut tidak dipersalahkan kerana meluluskan projek pembinaan di kawasan yang berbahaya seperti itu. Kerajaan negeri sebelum ini yang telah meluluskan semuanya. Takkan tak ada penasihat yang menasihatkan agar kawasan tanah tinggi seperti itu tidak perlu diluluskan seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat sekarang yang membekukan semua projek di kawasan seperti itu apabila mula berkuasa Mac lalu.

Dan kenapa penduduk di situ tidak dipersalahkan di atas kesilapan mereka sendiri membeli kediaman di sekitar kawasan yang berisiko tinggi itu. Kerana apabila mereka membeli bermakna mereka menyokong pembinaan tersebut. Mereka sendiri meletakkan diri dan keluarga mereka dalam situasi berbahaya yang memungkinkan keluarga mereka terkorban dalam tragedi seperti itu. Sekiranya mereka tidak membeli sudah tentu projek tersebut menemui kegagalan dan pemaju serik untuk membina perumahan di kawasan tinggi seperti itu.
Teori ini amat mudah seperti pemaju yang membina projek perumahan di kawasan tanah rendah yang berkemungkinan akan dilanda banjir. Sudah tentu pembeli tidak mahu membeli dan pemaju pun tak nak kerugian dengan membina perumahan di kawasan seperti itu. Tetapi apa yang berlaku ialah pemaju semakin ghairah membina banglo dan kondominium mewah yang sudah tentu bakal mengaut keuntungan berjuta ringgit kerana ramai golongan elit berlumba-lumba mahu membelinya.

Apa yang menariknya ialah musibah ini dihadapi oleh golongan elit ataupun orang kaya. Sekiranya banjir dihadapi oleh segelintir golongan miskin di negeri pantai timur, dalam masa yang sama orang kaya pula diuji oleh Allah SWT dengan kehilangan keluarga dan harta benda dalam tragedi tanah runtuh itu. Kita sering melihat di kaca televisyen orang miskin yang menderita kelaparan, kedhaifan dan kesusahan tetapi mereka sabar dan tabah menghadapinya. Tenang sahaja diuji oleh Allah SWT. Namun apa yang berlaku baru-baru ini yang dipaparkan di Buletin Utama Selasa lalu, ada penduduk yang marah-marah kepada pihak berkuasa kerana tidak membantu mereka mengangkut barang-barang mereka dan tidak memberi bantuan sebaiknya kepada mereka. Malah, ada yang hendak menyaman Pihak Berkuasa Tempatan kerana tidak bertindak sewajarnya bagi menghalang kejadian itu berlaku. Dan lebih memalukan, mereka menyalahkan Pihak Berkuasa Tempatan kerana meluluskan projek tersebut bukannya diri mereka sendiri!

Inilah bezanya orang yang sentiasa berada dalam kenikmatan dan kemewahan dunia apabila diuji. Ujian sebenarnya memberi peringatan di atas kesilapan yang mereka lakukan supaya mereka redha, insaf dan sedar di atas kekuasaan Tuhan bukannya semakin sombong dan angkuh bagi menutup kesalahan sendiri lantas menunding jari meletakkan kesalahan ke atas kepala orang lain. Belajarlah erti pengorbanan daripada keluarga hebat Nabi Ibrahim A.S

Ujian Keluarga Nabi Ibrahim

Sejak dari awal Nabi Ibrahim diuji oleh Allah SWT. Sepanjang usia perkahwinan baginda selama berpuluh tahun itu, baginda tidak dikurniakan zuriat. Ini menyebabkan Nabi Ibrahim bimbang. Bukan kerana tiada pewaris harta dan kepimpinan beliau tetapi bimbang tiada penyambung usaha dakwah yang dijalankan oleh baginda. Perasaan ini turut dikongsi oleh isteri baginda Siti Sarah. Lalu Siti Sarah mengizinkan Nabi Ibrahim untuk mengambil Siti Hajar sebagai isteri.

Setelah itu baginda dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ismail. Kegembiraan seorang ayah yang sekian lama menantikan zuriat tidak dapat digambarkan lagi. Namun kegembiraan itu tidak lama. Apabila Ismail semakin dewasa, turun wahyu memerintahkan agar anak kesayangannya itu disembelih. Tanpa ragu dan sesal kedua ayah dan anak ini menjunjung perintah Allah SWT. Dan si ibu menunggu penuh pasrah mayat anaknya yang disembelih sendiri oleh tangan suaminya di rumah. Namun, di akhir kisah ini Allah SWT menggantikan sembelihan Nabi Ibrahim daripada anaknya kepada seekor kibas.

Kecintaan Kepada Allah SWT Lebih Utama


Disebalik kisah ini yang dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran ini terdapat tiga dimensi pengorbanan. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang sanggup menyembelih anaknya sendiri setelah berpuluh tahun menunggu kelahirannya. Kedua, pengorbanan seorang ibu yang telah melahir dan membesarkan anak lalu terpaksa dikorbankan oleh suami sendiri. Ketiga, pengorbanan seorang anak yang taat dan patuh kepada ayahnya sekalipun terpaksa mengorbankan diri sendiri.

Ternyata ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya tiada tolok bandingnya lagi. Tetapi bagaimana Nabi Ibrahim melaluinya tanpa sesalan dan cemuhan? Inilah contoh teladan sepanjang zaman, pengorbanan agung yang sepatutnya menjadi contoh kepada kita semua. Nabi Ibrahim dengan keimanan yang jitu dan kecintaannya kepada Allah yang melebihi segala makhluk yang ada di bumi lalu bertekad untuk menurut perintah Allah tersebut. Tiada lagi cinta kepada anaknya! Tiada lagi cinta kepada isterinya! Kecintaan kepada Allah SWT dengan menurut perintahnya tanpa ragu adalah lebih utama dari segalanya! Ini adalah satu simbolik ketaatan yang tiada tolok bandingnya, puncak pengabdian kepada Allah, The Ultimate Obedience to Allah. Walau sehebat mana ujian Allah SWT baginda tetap terima dengan redha dan taat.

Lalu, bagaimanakah kita berhadapan dengan ujian dan dugaan daripada Allah SWT ???




Jangan Terikut "MILLAH" Golongan Nashara

Labels:

Minggu lepas saya ada terbaca mengenai jersi baru team bola sepak Malaysia di surat khabar. Tapi isu tu tak berapa lekat di mata saya. Hanya baca sekali lalu sahaja. Kalau berita tentang game yang player Malaysia main baru la baca bersungguh sikit terutama sejak Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2007 dan second place pada 2008. Permainan pun ada peningkatan dengan team muda B.Sathianathan.

Cuma bila saya terbaca sebuah laman blog yang menunjukkan baju tersebut saya jadi terkejut dan tak percaya. Ada lambang salib!! Ke mata saya yang tak betul. Lama-lama diamati memang betul ada lambang salib. Lihat gambar ini dan anda tentukan sendiri.

Jersi Lama


Jersi Baru


Memang jelas terpampang tanda salib. Kalau FAM tak perasan memang tak ada sensitiviti agama la jawabnya. Baju tersebut ditaja oleh NIKE yang baru-baru ini kecoh dengan pengeluaran kasut yang menunjukkan gambar menghina Islam. Bayangkan kalimah Allah diletakkan di kaki. Nauzubillah. Jangan disebabkan baju tu ditaja, kita menerima bulat-bulat apa yang direka untuk dipakai oleh pemain kita. Kerana dibimbangi akan menggugat aqidah umat Islam yang menjadi majaroti rakyat Malaysia hari ini.

Janganlah kita terikut-ikut dengan "millah" iaitu cara hidup agama yahudi mahupun nashrani (kristian) sebagaimana bicara Allah terhadap kesungguhan kaum yahudi dan nashrani berusaha sehingga kita mengikut cara hidup mereka. Ini dinyatakan dalam firmanNya pada surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud : "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka."







BUAH HATI BARU

Labels:

“ Jom kita ke klinik nak? ” tanya saya kepada zaujah (isteri). Masa tu akhir Ramadhan. Tak lama dah nak menyambut Syawal.

Senyap. Tiada jawapan.

“ Jomla..baru tahu sakit apa..entah entah orang baru nak sampai kot ” usik saya pada zaujah.

Hati saya waktu tu memang kuat mengatakan macam nak dapat baby je. Tapi zaujah tak muntah-muntah pun. Sebab tu tak berapa confirm. Zaujah saya ni pulak memang susah untuk ke klinik. Memang tak gemar makan ubat. Nanti banyak toksik dalam badan kata dia. Tapi hari tu memang dia lain sikit. Nampak tak ada mood nak bergurau. Badan pun lemah semacam. Kebetulan memang nak ke Temerloh untuk ambil Kak Idah yang baru sampai dari Perak. Nak beraya bersama di Felda Purun.

“ Kita gi sekejap je..ubat dia abang yang makan tau! ”

Saya senyum je melihat keletah zaujah yang makan dipujuk tu.

BUAT PEMERIKSAAN DI TEMERLOH

Hari tu memang tak berani bawa kereta laju macam biasa. Tapi bukanlah bermaksud saya selalu bawa kereta laju tapi lebih kurang macam tu lah maksudnya kot. Macam mana tak laju..Setiap minggu drive jauh dari Kuantan Ke Jengka. Dua jam atas jalan sorang-sorang. Kadang-kadang ke Jenderak Utara tempat zaujah mengajar. Tambah lagi setengah jam. Biasanya saya balik petang Jumaat. Kalau tak ada kerja petang tu memang bersiap awal untuk balik. Kalau ada jawabnya malam la baru bertolak. Pagi Isnin sebelum lalat bangun dah bersiap untuk ke Kuantan semula. Nak kena kejar assembly lagi. Kena sampai sebelum 7.45 pagi. Memang tak pernah lewat sampai di Maahad kecuali kereta ada masalah. Tapi memang jarang la. Jadi memang dah terbiasa bawa laju bukan saja-saja bawa laju. Tambah pulak balik ikut highway dan waktu petang pulak. Speed trap memang tak ada. Jalan pulak lurus. Memang tekan minyak sampai tak lepas-lepas. Yela..badan dah letih mesti hati nak cepat sampai. Sebab tu bila harga minyak naik memang terasa kepedihannya. Bila bawa kereta laju duit pun laju la keluar. Ada hikmah juga la harga minyak naik sebab saya dah mula belajar bawa kereta perlahan dan berhati - hati sampai ke hari ni. Eh..sebelum ni pun berhati-hati juga!

IBU DAN ABI

Sampai kat Temerloh kami pun terus ke klinik. Bila sampai kat depan pintu, zaujah tiba-tiba tak jadi masuk. Kami masuk kereta balik.

“ Kita gi farmasi dulu la bang. Beli Pregnancy Tester. Ayang nak test sendiri dulu. Kalau positif baru kita gi klinik semula ye ”

Cadangan asal nak ke klinik dulu dah jadi destinasi yang terakhir. Takpelah janji zaujah nak pergi. Perkahwinan memang banyak mengajar supaya sabar. Dengan orang perempuan memang kena pandai guna sikologi. Kena banyak sabar. Kalau guna emosi memang akan ada yang tarik muka. Kami pun singgah di Farmasi Sulaiman untuk membeli pregnancy tester dan terus ke masjid. Dalam kereta saya menunggu dengan penuh debar. Pregnancy tester ni digunakan untuk ujian kehamilan dengan menguji air kencing perempuan yang hamil. Sekiranya muncul dua garisan bermakna positif hamil. Sekiranya tidak, maka sebaliknya lah. Selepas menunggu beberapa ketika, zaujah saya pun muncul.

“ Macamana? ” tanya saya tak sabar.

“ Ada dua garisan! ” ringkas. Senyum pun meleret.

“ Alhamdulillah! Lepas ni kita gi klinik ok!” balas saya penuh kesyukuran.

Patutlah zaujah saya meragam sikit rupanya nak dapat buah hati baru. Lepas ni kehidupan kami bakal berubah. Daripada seorang diri tanpa teman kini berdua. Daripada berdua kini bakal bertiga. Daripada abang dan ayang lepas ni abi dan ibu.

“ Nanti dah ada baby abang panggil ummi nak? Kalau abang suka abi la ” tanya saya satu hari pada zaujah.

“ Kak Long dah ummi. Nanti anak dia panggil ummi..dua-dua yang datang macamana? Tapi abang long anak dia panggil abah ” zaujah membalas.

“ kalau macam tu nak panggil apa? ” tanya saya lagi.

“ Ayang jadi ibu..abang jadi abi nak? ” cadang zaujah saya.

“ Kalau ayang suka abang pun setuju la ”

CONFIRM ABI DAN IBU

Lepas siap shoping barang-barang raya Kak Idah pun sampai dan kami pun terus ke klinik Sulaiman. Di klinik Sulaiman doktor mengesahkan kehamilan zaujah saya yang dah lebih kurang sebulan umur dia. Sekali lagi saya memanjatkan kesyukuran atas anugerah ini. Kami menunggu saat ini hampir setahun sejak melangsungkan perkahwinan tahun lepas apabila zaujah “tidak dibenarkan hamil” kerana sedang mengikuti kursus KPLI – jQOF. So..inilah hadiah anivesary kami yang paling bermakna!! InsyaAllah tahun depan bulai Mei kami akan menerima kehadiran Buah Hati Baru…Pembakar Semangat Penyeri Jiwa Penguat Kasih Sayang!!

Gambar baby yang diambil baru-baru ini. Doakan dia menjadi anak yang soleh!

"Ya Allah peliharalah anakku selama ia berada di dalam perut ibunya, dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan Mu, Penyembuhan yang tiada meninggalkan penyakit.

Ya Allah rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperut ibunya dengan rupa yang baik, dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada Rasul-Mu.Ya Allah, keluarkanlah dia dari perut ibunya dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal dan mencontohi sifat dan akhlak RasulMu.

Ya Allah panjangkanlah umurnya sihatkanlah badannya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad SAW, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam".

Ameen.





Mufti Perlis..Politik dan Pantun

Labels:

Memang bagai disangka!! Itulah reaksi pertama saya bila terbaca artikel berkaitan penamatan kontrak perkhidmatan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini. Saya ada coretan nak dikongsikan bersama tentang Mufti bersuara lantang ini.

Pertama, Sebetulnya saya ada menyimpan satu artikel berkaitan Dr Asri baru-baru ini untuk dipaparkan di sini berkaitan kelantangan suara beliau. Tetapi sampai hari ini menjadi simpanan sahaja.

Kedua, saya juga ada menyimpan satu pantun karangan Dr Asri untuk dikongsikan bersama pembaca sekalian tetapi turut menjadi "mangsa" simpanan saya. Ceritanya ialah jauh dilubuk hati saya mengatakan mungkin tak lama Mufti Perlis ini. Sebab suaranya yang tidak senada dengan pimpinan politik hari ini. Isunya bertambah hangat selepas pilihanraya baru-baru ini yang mana kenyataan beliau seolah-olah menyebelahi pakatan rakyat dan di setengah-setengah tempat menjadikan kenyataannya sebagai modal meraih undi.

Kemudian seingat saya kenyataan beliau mengharamkan penyanyi Faizal Tahir dari membuat persembahan di Perlis. Diikuti isu liwat Dato Seri Anwar Ibrahim yang meminta kedua-duanya membuat sumpah mubahalah. Kemudian isu pengharaman sambutan Hari Pahlawan apabila PM meletakkan kalungan bunga di tugu Negara. Baliau dengan lantang meminta PM bertaubat. Dan terkini isu ISA yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam.(ada banyak lagi)

Dalam pantun tersebut Dr Asri secara kiasan meminta seseorang daripada berundur daripada jawatan yang dipegang sekarang. Lalu isu itu disensasikan dengan ramai pihak menafsirkan individu yang dimaksudkan ialah PM sekarang Pak Lah.

Hati saya bertambah kuat menyatakan memang takkan lama Dr Asri dalam jawatan dia sekarang. kalau dapat bertahan lama memang suatu yang pelik lagi aneh. Dan akhirnya benarlah detik hati saya. Akhir Oktober baru-baru ini, perkhidmatan beliau telah pun ditamatkan dan beliau akan menyambung semula tugasnya sebagai pensyarah di USM. Teringat satu hadis ketika belajar dahulu..

" Apabila satu urusan diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat kehancuran"

Harapan saya semoga penganti beliau berani sepertinya! Di sini saya sertakan pantun tersebut yang boleh didapati di http://drmaza.com/home/?cat=20.




Mufti akui mangsa 'permainan politik'

Labels:


Malaysia Kini
7 Oktober 2008

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.
“Cara menguruskannya, macam main silap mata. Mereka tidak jujur,” katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lanjut bentuk permainan politik itu dan pihak yang terlibat.Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, surat makluman tamat kontrak perkhidmatannya selama dua tahun bermula 2006 dihantar kepadanya baru-baru ini walaupun kontrak baru sehingga Oktober 2009 telah ditandatangani Jun lalu. Tindakan itu, menurut sumber-sumber, "ada (niat) sesuatu".

Dr Mohd Asri bagaimanapun menjelaskan tidak akan bertemu Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu untuk menyelesaikan permainan politik seperti didakwanya melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya tidak akan berjumpa beliau (Md Isa) untuk meminta jawatan," katanya.

Ditanya sama ada keputusan melepaskan jawatan itu dibuat kerana terdapat tekanan akibat beberapa pandangannya yang tidak selari dengan pandangan ahli politik, beliau berkata:

"Beberapa pandangan saya kritikal. Saya tidak kisah. Ada orang tidak selesa. Saya tidak kisah berbeza pandangan dengan pentadbir, tidak kira Umno atau parti mana pun.”

Sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai mufti, katanya, beliau telah "melakukan sesuatu".

"Daripada hari pertama (bertugas), ada orang terkejut dengan pandangan saya. Sepanjang tempoh itu, saya telah bertemu dengan pelbagai orang daripada pelbagai peringkat.

"Saya puas hati, saya telah melakukan sesuatu," katanya.

Mengulas "permainan politik" itu, Dr Mohd Asri berkata, istana sebagai institusi yang mengawal hal-ehwal Islam dan adat istiadat Melayu tidak mengetahuinya.Oleh itu, tambahnya, beliau berhasrat menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyampaikan hajatnya dan memohon perkenan baginda. Bekas ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) akan kembali mengajar di kampus itu di Pulau Pinang mulai 1 November ini.

Katanya, beliau akan berlepas ke United Kingdom selama tujuh bulan mulai 1 Disember untuk menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.

Sebelum meninggalkan jawatan itu, tambahnya, beliau akan mencadangkan penggantinya seperti yang pernah diamalkan oleh khalifah Islam yang pertama, Abu Bakar as-Siddiq.

Diminta menjawab kenyataan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan tindakannya itu sebagai tidak menghormati keputusannya yang menyambung perkhidmatan sehingga tahun depan, Dr Mohd Asri berkata:

"Saya baik dengan beliau. Mungkin beliau tidak gembira dengan keputusan saya ini.”

Mufti termuda di Malaysia itu memecah rekod institusi agama itu apabila bersuara lantang dalam beberapa isu penting dan kontroversi, termasuk penangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lepas, peralihan kuasa dalam Umno, mubahalah isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negara dan pengharaman penyanyi Faizal Tahir.

Selain itu, beliau pernah hadir dalam forum yang dianjurkan Pakatan Rakyat di Kelantan selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu, kelulusan doktor falsafah dalam pengajian hadis di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dilantik sebagai mufti menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin yang bersara wajib.




Salam Eidul Fitri 1429 H

Labels:


Selamat Hari Raya Eidul Fitri 1429 H
Maaf Zahir Batin
dari saya dan isteri
Mohd Amin bin Ahmad & Nor Marsitah bt. Hidzir




25 Tips Raikan Syawal

Labels:

Malam Aidil Fitri

1. Banyakkan bertakbir.Mulakan selepas salam pada solat Maghrib dikuti dengan bertahmid, bertasbih Takbir boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama-sama keluarga. Pada zaman Rasulullah SAW takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.

2. Berdoa dan berbuat kebaikan pada malam raya.Imam Syafie berkata doa itu mustajab pada lima malam berikut iaitu Malam Jumaat, malam Hari Raya Aidilfitri, Malam Hari Raya Haji, Malam Awal Bulan Rejab dan Malam Nisfu Syaaban.

3. Berqiamulail.Kalau tak berqiam pun (ada pandangan yang menolak disebabkan hadis di bawah, hadis daif) sekurang-kurangnya jangan terlupa langsung solat sunat qabliah ba’diah, Lebih teruk lagi tak solat langsung dah disebabkan bakar lemang atau masak ketupat. Niat nak buat maksiat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi, batalkanlah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, hatinya tidak mati pada ketika hati mereka yang lain mati.”
Siang Aidil Fitri

4. Jangan berpuasa pada siang 1 Syawal kerana hari itu, Allah haramkan kita berpuasa.

5. Jangan kongsi raya dan jangan menganggap Aidilfitri sama dengan perayaan-perayaan lain.

6. Kemaskanlah diri.Gunting-guntinglah rambut yang nampak dan yang ‘tak nampak’. Bersihkanlah daki-daki badan termasuk anggota badan lain seperti kuku kaki dan tangan.

7. Disunatkan mandi pagi.Hal ini dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar dalam kitab al-Muwatta’, bahawa Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bergerak ke masjid.

8. Sunat memakai pakaian yang terbaik dan tercantik, walaupun tak baru. Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah SAW mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.

9. Kalau mampu, pakailah pakaian yang baru beli.Jangan simpan baju raya untuk bawa berjalan ke rumah orang atau mengorat anak dara/teruna orang. Sunat bawa ke masjid.

10. Sunat mengenakan haruman (tidak kepada wanita).Kalau yang kalut tu. Pagi-pagi raya dok cuci kereta, basuh motor atau bakar lemang lagi, elok taruk banyak-banyak sikit minyak wangi atau mandi sekali lagi.

11. Makan terlebih dahulu.Sebelum berangkat ke masjid makanlah dulu. Jangan habiskan semua kurma dalam bulan Ramadan. Simpan sikit untuk 1 Syawal. Sebuah hadis dari Anas bin Malik telah menjelaskan bahawa Baginda SAW makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

12. Sebelum solat bermaaf-maafan dengan keluarga.Betullah, tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita bermaaf-maafan. Cuma apabila berada pada hari kebesaran Islam ini eloklah kita gunakan kesempatan tersebut, untuk mengikis perasaan ego dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan saudara-saudara kita. Bukan senang nak jumpa, nak peluk cium dan sebagainya. Kalau nak bergambar pun, bergambarlah sekeluarga masa ini. Lepas raya dah berterabur, pakatpakat berjalan belaka.

13. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain.Hikmahnya agar bertemu ramai orang. Maklumlah bukan selalu balik. Rupa pun dah berubah. Berkenal-kenalanlah kalau berselisih dengan orang. Tengok-tengoklah jalan kampung yang semak dengan lalang atau jalan berlubang, jambatan patah dan lain-lain. Jangan tunggu YB. Hulurkan duit lebih dalam tabung masjid.

14. Lambatkan solat sunat Aidilfitri.Lambatkanlah sedikit solat. Pesan kat tok imam yang gilirannya bertugas. Jangan bertukar dengan solat hari raya korban. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

15. Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah.Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah.

16. Surah yang dibaca dalam solatBagi yang terlupa, di dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan membaca surah al-’Ala pada rakaat pertama dan al-Ghasyiah pada rakaat kedua.

17. Solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah.Jangan tertukar. Maklumlah setahun seklai. Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma

18. Dengar Khutbah.Kemuncak Hari Raya Aidil Fitri, bukan baju baru, kuih raya, lemang atau ketupat. Tak ada pun tak mengapa. Kemuncaknya ialah mendengar khutbah. Jangan jadi macam budak-budak belum habis salam lagi berderau enjin motor balik. Kadang-kadang bapak budak lebih daripada anak lagi.

19. Solat di lapangan, terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran tersebut seperti riawayat Ummi ‘Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.
Selepas Solat

20. Mendoakan orang lain.Jangan sekadar ucap Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin sahaja hingga terlupa ucapan yang lebih bermakna daripada itu. Ucapkanlah tahniah dan selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang Ramadan lepas diterima Allah. Lafaznya: Taqabbalallahu Minna wa Minkum Soleh al-’Amal.

21. Bermaaf-maafan dengan yang kenal dengan yang tidak.Jangan memilih untuk bersalaman. Bersalm dan bermaaf-maafan dengan semua orang. Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah, dan tidaklah bertambah di sisi Allah SWT bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh Allah SWT (Riwayat Muslim)

22. Ziarah-menziarahi sesama Muslim.Selepas solat jangan terus balik. Elok pergi rumah guru-guru dulu. Inilah sebabnya Baginda SAW mengambil yang lain sewaktu pulang daripada solat tersebut. Hikmahnya singgahlah dulu rumah sahabat-sahabat dan jiran tetangga yang ditemui atau diziarahi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan beroleh kemenangan berpuasa selama sebulan Ramadan.

23. Bersedekah - pemberian duit raya.Soalnya adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya?Kalau dah rajin bagi sedekah sebelum raya dan hari raya pun bagi sedekah itu ibadah. Andai seumur hidup atau setahun sekali baru bagi sedekah itu namanya adat. Sedekah itu ibadat bukan adat.
Harus diingat, sedekah tidak hanya duit raya, kuih raya juga sedekah, gula-gula juga sedekah untuk anak-anak bagi yang tak mampu. Yang penting ialah ikhlas dan menghargai kesungguhan mereka berpuasa. Tanyalah dulu berapa hari puasa. Kalau puasa penuh bagilah RM30 seorang. RM1 sehari. Ah, cadangan sahaja. Utamakan juga kepada anak-anak, isteri, suami, ibu bapa dan mertua.

24. Menziarahi Kuburan.Tak salah menziarahi kubur. Bukankah ia sunah yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad SAW supaya ingat mati. Dalam sepotong hadis, Baginda menegaskan: Aku dahulunya pernah melarang kamu semua menziarahi kubur, sekarang ziarahlah ia, lantaran ia dapat mengingatkan kamu dengan Hari Akhirat. (Riwayat Muslim)
Isunya kenapa pagi Hari Raya Aidilfitri? Kalau dah balik awal ke kampung, ziarahlah awal-awal sikit. Bersihkanlah mana yang patut. Kecuali kalau ‘mobile’, pagi raya tu baru sampai kampung. Petang dah nak balik rumah mentua-mentua yang lain. Bolehlah tengok sekejap.
Orang bandar bukan selalu balik kampung kan? Masalahnya orang kampung situ pun ziarah kubur pada hari raya juga. Itu taklah jadi ibadat, maka ia akan jadi adat dan taku-takut jatuh khurafat pula.

25. Boleh ke raya pada 1 Syawal sahaja?Boleh ‘Raya’ sebulan selagi amalan itu tidak bertentangan syariat, cuma dalam Islam Aidil Fitri hanya 1 Syawal sahaja. 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Buatlah puasa sunat enam syawal cepat-cepat. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW ; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Wallahu ‘A’lam. Tips-tips ini boleh dicabar kewibawaannya dan boleh dibincang-bincangkan lagi. Moga boleh jadi rujukan. - al-Kurauwi

nuramin : entri ini diambil dari
http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/




Bila Kambing Tersenyum...

Labels:

Utusan Malaysia
22 September 2008



Nuramin : Semoga Islam terus gemilang!




Masjid akur bantahan bukan Islam

Labels:

Utusan Malaysia
19 September 2008

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Kuliah Subuh yang hanya berlangsung seminggu sekali di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Puchong tidak lagi menggunakan pembesar suara selepas 189 penduduk bukan Islam menghantar petisyen bantahan.

Bilal masjid berkenaan, Bahrudin Maskor, 47, berkata, petisyen bantahan dibuat pihak terbabit dengan alasan kuliah Subuh pada setiap hari Ahad itu menganggu tidur mereka.

"Selepas menerima petisyen pada Februari lalu, nazir masjid, Abdul Rahman Nasir mengarahkan saya supaya tidak memasang pembesar suara di menara sebaliknya hanya mengunakan pembesar suara di bahagian dalam sahaja.

"Bantahan itu hanya untuk hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am sahaja, untuk hari lain mereka tidak ada masalah malah mengakui bunyi pembesar suara itu boleh mengejutkan mereka dari tidur," katanya.

Bahrudin yang ditemani Imam Masjid Batu 12, Puchong, Mohd. Zainal Khamis berkata demikian selepas memberi keterangan kepada polis kira-kira pukul 1.30 petang berhubung isu kontroversi petisyen itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Pada 8 September lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendedahkan wujud usaha pihak tertentu yang dipercayai didalangi salah sebuah parti politik membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara.

Mengulas lanjut, Bahrudin berkata, penggunaan pembesar suara di menara masjid sewaktu kuliah Subuh telah lama dilaksanakan pihaknya.

Katanya, ia berikutan permintaan golongan wanita Islam di kawasan berdekatan yang mahu mengikuti kuliah itu dari rumah.

"Bagaimanapun kerana petisyen itu, penggunaan pembesar suara di menara masjid dihentikan serta-merta," katanya.

Ditanya, adakah petisyen itu turut membantah laungan azan, beliau berkata perkara itu tidak dinyatakan.

Nuramin : Inilah terjadi apabila Islam lemah!!